Usah ambil mudah selesema

BATUK dan selsema sememangnya perkara biasa yang dialami kanak-kanak memandangkan gaya hidup aktif yang mereka lalui sepanjang hari.

Mungkin petanda jangkitan telinga pada kanak-kanak boleh membawa maut

Namun, pasti tidak ramai ibu bapa sedar bahawa batuk dan selsema yang dianggap normal itu mungkin membawa petanda kepada penyakit lain seperti pneumokokal invasif (IPD) dan otitis media akut (AOM) atau jangkitan telinga yang kini dianggarkan membunuh satu juta kanak-kanak bawah usia lima tahun di seluruh dunia setiap tahun.

Penyakit ini berpunca daripada sejenis kuman bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan pada tekak dan telinga hingga mengakibatkan kesan lebih serius seperti jangkitan paru-paru serta radang otak.


Kuman streptococcal pneumoniae atau pneumokokus dikenal pasti sebagai penyebab utama. Ia terdapat dalam lapisan hidung serta tekak orang yang sihat (pembawa kuman) melalui batuk dan orang yang berada di persekitaran secara langsung.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail, menggesa ibu bapa memberi perhatian khusus dalam hal ini, sama seperti memberikan suntikan imunisasi lain kepada anak-anak mereka.

"Ibu bapa di Malaysia masih belum sedar kesan pneumokokal ini yang sebenarnya boleh mengakibatkan masalah hilang pendengaran, tidak mampu belajar, pertuturan terganggu, kecacatan otak malah boleh membawa maut," katanya.

Zulkifli menambah, pneumokokal sukar dikesan jika dilihat pada luarannya kerana simptom yang dialami kanak-kanak terbabit hampir sama seperti kanak-kanak yang mengalami batuk dan selsema biasa.

"Masalah utama ialah kesukaran mengesannya. Dalam satu kes, seorang kanak-kanak mengalami batuk dan selesema teruk hingga keluar lelehan cecair dari telinga lalu diberikan ubat merawat pengeluaran cecair apabila dirujuk ke hospital.

"Selepas diperiksa secara menyeluruh, didapati kanak-kanak itu dijangkiti pneumokokal. Itu pun selepas ubat yang diberikan sebelum itu tidak mampu merawatnya, malah menyulitkan proses kenal pasti jangkitan," ujarnya.

Justeru, suntikan vaksin Synflorix yang diperkenalkan oleh GlaxoSmithKline, baru-baru ini, adalah salah satu cara paling efektif untuk mencegahnya.

Zulkifli menyifatkan pengambilan vaksin baru berkenaan amat penting bagi melindungi bayi dan kanak-kanak yang berisiko tinggi antaranya ketika berada di pusat asuhan, tadika dan taman permainan.

Mengulas lanjut mengenai Synflorix, Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata ia vaksin generasi baru yang dicipta selepas kewujudan vaksin 7-valen yang digunakan ketika ini.

"Synflorix adalah vaksin berkonjugat protein D influenza hemofilus tidak berjenis dan polisakarida pneumokokal 10-valen, memberi perlindungan daripada AOM pneumokokal yang berpotensi mencegah lebih banyak kes IPD berbanding vaksin 7-valen.

"Ia menawarkan perlindungan daripada tiga jenis pneumokokal tambahan iaitu jenis 1, 5 dan 7F yang sangat invasif dan penggunaannya diiktiraf badan kesihatan global," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antaranya, memberi prakelayakan kepada Synflorix untuk digunakan di seluruh dunia. Prakelayakan ini adalah yang pertama diberikan untuk vaksin menentang penyakit pneumokokal.

Pra kelayakan WHO juga membolehkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membeli vaksin bagi pihak negara membangun dan langkah itu berupaya mempercepatkan capaian pesakit kepada Synflorix.

Tambah Musa, suntikan vaksin ini mula dipasarkan di klinik dan hospital swasta pada harga berpatutan antara RM190 ke RM200 untuk satu dos.

Maksimum pengambilannya ialah tiga dos atau bergantung kepada umur dan keperluan kanak-kanak itu.

utama

Dunia berkembang, begitu juga penyakit maut

SEPERTI negara lain, Malaysia turut mengalami peristiwa menakutkan sepanjang dekad lalu dengan tersebarnya penyakit berjangkit dalam komuniti kita.

SEPERTI negara lain, Malaysia turut mengalami peristiwa menakutkan sepanjang dekad lalu dengan tersebarnya penyakit berjangkit dalam komuniti kita. Walaupun saintis sepanjang zaman mengenal kehadiran kuman, manusia hanya mula memberi perhatian selepas Louis Pasteur tampil dengan teorinya mengenai kuman dan keperluan mencuci tangan dan sanitasi. Sesungguhnya, jangkitan melalui sentuhan kekal sebagai satu perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.


Selain Kementerian Kesihatan Malaysia, badan perubatan dan pengamal kesihatan profesional seluruh dunia turut menekankan kepentingan penjagaan kebersihan diri yang betul. Ia salah satu daripada langkah paling berkesan dalam mencegah penyebaran penyakit merbahaya yang banyak menjejaskan manusia. Setidak-tidaknya, pencegahan penyakit ini adalah lebih baik daripada mengubatinya.


Sejajar dengan peningkatan kes penyakit di kalangan masyarakat, kemajuan dalam bidang perubatan menyaksikan banyak vaksin dan ubat dicipta bagi mengubati beberapa penyakit terburuk yang pernah dialami dunia. Walau sebaik mana kemajuan yang kita capai dalam bidang perubatan, kuman, virus dan penyakit masih tersebar luas dalam kehidupan malah lebih ketara pada masa kini berbanding masa lalu.


Dalam era globalisasi, jumlah pelancong antarabangsa kian bertambah, justeru, lebih mudah untuk orang ramai mendapat penyakit tanpa mengalami sebarang simptom sehingga mereka pulang ke negara asal. Malaysia juga tidak terkecuali. Anda mungkin membuat kesimpulan bahawa ini sekadar satu situasi global, tetapi apakah implikasi sebenarnya kepada kita sebagai rakyat Malaysia? Satu contoh baik adalah penularan wabak Influenza A (H1N1) di Malaysia. Pada 13 Mei, seorang pelajar berusia 21 tahun pulang ke tanah air dari Newark, Amerika Syarikat dan disahkan positif dijangkiti A (H1N1) pada 15 Mei. Walaupun pada mulanya dikawal, kes yang serupa membolehkan virus terbabit mula merebak secara berleluasa dan kesannya masih dirasai hingga sekarang.


Ini menunjukkan betapa pentingnya amalan kebersihan diri yang betul seperti mencuci tangan. Kini, lazim bagi kita mula mempersoalkan keberkesanan ‘perlindungan’ yang boleh kita dapati daripada sabun antibakteria yang kurang bermutu.

Sebagai rakyat Malaysia di negara yang kian berkembang maju, kita lebih bersedia untuk mengambil langkah selanjutnya. Ini ketara apabila membabitkan perihal perlindungan kesihatan. Kita sendiri pernah melihat bagaimana produk yang sudah lama wujud di pasaran tidak berjaya meyakinkan kita mengenai tahap perlindungan sebagaimana yang kita mahukan. Globalisasi membolehkan kita mempertingkatkan taraf kehidupan. Sejajar dengan itu, perlindungan daripada penyakit yang boleh membawa maut juga perlu berubah dan bertambah efektif selaras dengan kemajuan kita.


Sabun antibakteria perlu diperkuatkan lagi dengan kemunculan teknologi perlindungan terhadap kuman. Kita sendiri pernah melihat bagaimana perlindungan kebersihan diri itu menjadi satu-satunya pertahanan terbaik dalam menghadapi penyakit ini. Kini, muncul satu seruan lantang demi menuntut mutu perlindungan kebersihan diri tertinggi di seluruh negara.


utama

Dorong perokok berhenti

PEROKOK tegar memerlukan sokongan kuat daripada semua pihak dan dibantu oleh aspek lain termasuk persekitaran serta penguatkuasaan larangan bagi memastikan mereka berhenti meneruskan amalan yang tidak menyihatkan itu.

PEROKOK tegar memerlukan sokongan kuat daripada semua pihak dan dibantu oleh aspek lain termasuk persekitaran serta penguatkuasaan larangan bagi memastikan mereka berhenti meneruskan amalan yang tidak menyihatkan itu.


Oleh itu, usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan persekitaran sihat di samping proses pendidikan yang berterusan dan kesungguhan dalam menguatkuasakan larangan sedia ada.


Menyedari kepentingan untuk mempromosikan aktiviti pembudayaan persekitaran yang sihat tanpa merokok, sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan pasukan sukarela Green Lung yang bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai bahaya merokok dan usaha mewujudkan persekitaran sihat dalam masyarakat kampus.


Green Lung turut memperkenalkan aktiviti yang menyokong persekitaran bebas tembakau sempena pelancarannya pada 21 Januari.


Pengarah Pusat Racun Negara USM, Profesor Madya Abdul Razak Lajis, ketika melancarkan aktiviti itu berkata usaha sukarela itu wajar disokong kerana ia turut menyentuh kepentingan ekonomi, agama dan sosial dengan pengambilan dadah serta bahan terlarang.

"Masyarakat secara umum tidak tahu secara tepat mengenai masalah berkaitan merokok termasuk perokok tegar. "Justeru, proses pendidikan yang berterusan harus dilakukan, terutama di kalangan institusi pendidikan sebagai model untuk diikuti oleh orang lain, terutama anak-anak," katanya.


Menurutnya, kejayaan mengekang amalan merokok juga perlu diberi sokongan berterusan dan 300 klinik berkaitan di seluruh negara yang berada di bawah kendalian Kementerian Kesihatan sememangnya membantu dalam mengurangkan tabiat terbabit.


Klinik Berhenti Merokok yang terdapat di Pusat Sejahtera USM pula berjaya membantu lebih 30 peratus daripada kira-kira 250 orang perokok yang mengikuti klinik berkenaan sejak 2001.


Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding sasaran iaitu sekitar 20 peratus mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.


Sementara itu, Karnival Green Lung akan diadakan di kampus universiti itu pada 23 hingga 25 Februari depan dengan program khas seperti forum, penerbitan, pemeriksaan, reka bentuk produk dan permainan untuk perokok.


"Kami juga akan mengenal pasti perokok dari di kalangan warga universiti, pengiraan puntung rokok yang ditinggalkan di pelbagai zon kampus dan memantau perokok," kata pengarah karnival, Ho Thu Yann.


Dia turut mengajak orang ramai menyertai aktiviti yang dijalankan pihaknya bagi membantu menimbulkan kesedaran terhadap usaha mengekang tabiat merokok di kalangan masyarakat terutama warga kampus.

Pasukan sukarela Green Lung USM akan turut bekerjasama dengan rakan mereka daripada universiti lain bagi membina rangkaian kerjasama termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.


"Apa yang penting, kami menegaskan agar siswa menjauhi tabiat merokok dan sama-sama berusaha mewujudkan persekitaran yang sihat," katanya yang juga pelajar tahun ketiga pengajian Sains Farmasi USM.


Maklumat aktiviti ini boleh diperoleh dengan menghubungi greenlung.usm@gmail.com atau lawati usmgreenlung.blogspot.com.


utama

Herba mujarab

HERBA dan rempah ratus adalah antara bahan masakan penting yang sudah menjadi sebahagian daripada sajian masyarakat di seluruh dunia sejak beribu tahun lamanya.


Tumbuhan itu adalah warisan yang tidak ternilai kepada manusia kerana selain menyedapkan lagi hidangan, herba juga mempunyai banyak khasiat berguna untuk penjagaan kesihatan badan dan kecantikan.


Untuk masyarakat tempatan, kita memang tidak dapat lari daripada beberapa bahan seperti lengkuas, halia, kunyit, bawang serta serai yang sememangnya sentiasa ada di dapur.


Dulu kala, halia atau nama botaninya, Zingiber officinale, digunakan sebagai bahan untuk merawat luka dan mencegah jangkitan parasit, tetapi kerana kurang pendedahan mengenai khasiatnya, sebahagian besar generasi masa kini mengenali halia hanya sebagai satu rempah ratus masakan.


Tumbuhan ini dikatakan berkesan untuk merawat loya dan mual, namun untuk ibu yang hamil, pengambilannya tidak digalakkan. Ia juga membantu untuk melegakan kesakitan perut selain mengelakkan kekejangan akibat cuaca panas.

Di Asia Tenggara, halia sebenarnya banyak digunakan untuk membantu menangani beberapa jenis penyakit seperti berkaitan penghadaman, angin serta memanaskan badan kerana ia kaya dengan pati minyak, oleoresin, protein, lemak, asid organik serta vitamin A, B, dan C.


Pokok kunyit pula sememangnya unik kerana ia mempunyai pelbagai kegunaan. Daun kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma serta warna kuning kepada masakan seperti rendang, gulai selain dijadikan sebagai pembalut ikan atau daging yang dibakar. Dalam perubatan, kunyit atau nama botaninya, Curcuma domestica digunakan sebagai antioksidan, antibakteria dan antiradang. Ia dikatakan membantu menyembuhkan luka di dalam badan, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selesema. Kajian menunjukkan peranan kunyit dalam perubatan sudah dikenal pasti sejak 3,000 tahun lalu. Bagi masyarakat Melayu, kunyit sering digunakan sebagai jamu untuk ibu selepas bersalin bagi mengecutkan rahim serta mencuci darah. Masyarakat Cina pula percaya isi kunyit boleh membantu melancarkan darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku.


Masyarakat India menggunakan kunyit sebagai bahan utama dalam masakan rempah kari serta acar pedas dan ilmu perubatan India mengesyorkan kunyit sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, gatal-gatal dan depilatori. Lebih menarik, masyarakat di negara jiran, Thailand, mempercayai kunyit dapat merawat bisa patukan ular tedung dan dikatakan ada penyelidikan yang membuktikan herba itu membantu untuk menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah serta mengurangkan toksin pada hati.


Tanaman herba yang biasa ditanam di sekitar rumah, lengkuas atau nama saintifiknya, Alpinia galanga, pula tidak kurang hebatnya daripada segi khasiat.


Tergolong dalam keluarga Zingiberaceae, lengkuas dipercayai mempunyai khasiat untuk menambahkan selera makan serta membantu membersihkan darah, mencairkan kahak, merawat penyakit limpa bengkak dan mempunyai ciri afrodisiak, penyebab utama ia banyak dijadikan sebagai salah satu bahan dalam menguatkan tenaga.


Herba lain seperti asam gelugur juga mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan badan. Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, asam gelugur atau nama saintifiknya Garcinia atroviridis yang mengandungi asid hydroxycitris dianggap antara ejen terbaik mengurangkan kolesterol.


Asam gelugur dipercayai dapat membantu mengurangkan asid lemak selain meningkatkan pengeluaran glikogen di hati serta meningkat suhu badan.

Bawang putih atau Alium sativum pula memang sudah menjadi bahan dapur utama ketika memasak kerana aroma dan rasa yang dihasilkan menambah perisa pada setiap hidangan. Penggunaan bawang putih sebenarnya bukan sekadar untuk menyedapkan makanan semata-mata kerana ada kajian yang mendapati khasiat bawah putih untuk kesihatan. Penduduk awal Amerika menggunakan bawang liar untuk merawat demam, batuk dan asma manakala dalam perubatan Cina, bawang banyak digunakan untuk menangani masalah batuk, jangkitan bakteria serta masalah pernafasan.


Masyarakat Syria dikatakan mencampurkan bawang putih ke dalam minuman untuk mengubati demam, cirit-birit dan menahan sakit semasa bengkak. Ia juga dipercayai membantu untuk menguruskan badan, menurunkan paras kolesterol serta tekanan darah tinggi dan menambah kepekatan darah. Kandungan bawang putih bukan saja menghasilkan antibodi, tetapi turut membentuk sistem kawalan secara semula jadi untuk membunuh kuman bagi meredakan demam kepialu.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyokong penggunaan bawang untuk mereka yang mengalami masalah kurang selera makan serta mencegah atherosclerosis selain dapat membantu meredakan masalah batuk, asma dan bronkitis.


Serai pula boleh didapati dalam dua jenis utama iaitu untuk dimakan dengan nama saintifik Cymbopogen citratus dan serai wangi, Cymbopogen nardus. Menurut laman web Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), tanaman serai makan dilaporkan berasal dari Sri Lanka dan tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala serta China.


Di Malaysia, serai makan terutama batangnya digunakan sebagai bahan perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tom yam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas kerana aroma serta rasanya yang unik dapat meningkatkan selera. Di sesetengah negara, serai makan diusahakan khas untuk pengeluaran minyak pati yang berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan berbau limau atau lemon. Serai wangi pula banyak digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusan serai wangi sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun, di kebanyakan negara, serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak pati yang dikenali sebagai citronella di pasaran antarabangsa. Seperti herba lain, limau purut juga mempunyai banyak khasiat dan kegunaan. Daunnya banyak digunakan dalam masakan seperti tom yam kerana bau dan rasanya yang unik. Daripada aspek kesihatan, limau purut banyak digunakan sebagai ramuan ubatan dan bahan untuk mandi wap kerana ia dipercayai membantu untuk merawat kulit kepala, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa.

utama