Dorong perokok berhenti

PEROKOK tegar memerlukan sokongan kuat daripada semua pihak dan dibantu oleh aspek lain termasuk persekitaran serta penguatkuasaan larangan bagi memastikan mereka berhenti meneruskan amalan yang tidak menyihatkan itu.

PEROKOK tegar memerlukan sokongan kuat daripada semua pihak dan dibantu oleh aspek lain termasuk persekitaran serta penguatkuasaan larangan bagi memastikan mereka berhenti meneruskan amalan yang tidak menyihatkan itu.


Oleh itu, usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan persekitaran sihat di samping proses pendidikan yang berterusan dan kesungguhan dalam menguatkuasakan larangan sedia ada.


Menyedari kepentingan untuk mempromosikan aktiviti pembudayaan persekitaran yang sihat tanpa merokok, sekumpulan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) melancarkan pasukan sukarela Green Lung yang bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai bahaya merokok dan usaha mewujudkan persekitaran sihat dalam masyarakat kampus.


Green Lung turut memperkenalkan aktiviti yang menyokong persekitaran bebas tembakau sempena pelancarannya pada 21 Januari.


Pengarah Pusat Racun Negara USM, Profesor Madya Abdul Razak Lajis, ketika melancarkan aktiviti itu berkata usaha sukarela itu wajar disokong kerana ia turut menyentuh kepentingan ekonomi, agama dan sosial dengan pengambilan dadah serta bahan terlarang.

"Masyarakat secara umum tidak tahu secara tepat mengenai masalah berkaitan merokok termasuk perokok tegar. "Justeru, proses pendidikan yang berterusan harus dilakukan, terutama di kalangan institusi pendidikan sebagai model untuk diikuti oleh orang lain, terutama anak-anak," katanya.


Menurutnya, kejayaan mengekang amalan merokok juga perlu diberi sokongan berterusan dan 300 klinik berkaitan di seluruh negara yang berada di bawah kendalian Kementerian Kesihatan sememangnya membantu dalam mengurangkan tabiat terbabit.


Klinik Berhenti Merokok yang terdapat di Pusat Sejahtera USM pula berjaya membantu lebih 30 peratus daripada kira-kira 250 orang perokok yang mengikuti klinik berkenaan sejak 2001.


Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding sasaran iaitu sekitar 20 peratus mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.


Sementara itu, Karnival Green Lung akan diadakan di kampus universiti itu pada 23 hingga 25 Februari depan dengan program khas seperti forum, penerbitan, pemeriksaan, reka bentuk produk dan permainan untuk perokok.


"Kami juga akan mengenal pasti perokok dari di kalangan warga universiti, pengiraan puntung rokok yang ditinggalkan di pelbagai zon kampus dan memantau perokok," kata pengarah karnival, Ho Thu Yann.


Dia turut mengajak orang ramai menyertai aktiviti yang dijalankan pihaknya bagi membantu menimbulkan kesedaran terhadap usaha mengekang tabiat merokok di kalangan masyarakat terutama warga kampus.

Pasukan sukarela Green Lung USM akan turut bekerjasama dengan rakan mereka daripada universiti lain bagi membina rangkaian kerjasama termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.


"Apa yang penting, kami menegaskan agar siswa menjauhi tabiat merokok dan sama-sama berusaha mewujudkan persekitaran yang sihat," katanya yang juga pelajar tahun ketiga pengajian Sains Farmasi USM.


Maklumat aktiviti ini boleh diperoleh dengan menghubungi greenlung.usm@gmail.com atau lawati usmgreenlung.blogspot.com.


utama