Usah ambil mudah selesema

BATUK dan selsema sememangnya perkara biasa yang dialami kanak-kanak memandangkan gaya hidup aktif yang mereka lalui sepanjang hari.

Mungkin petanda jangkitan telinga pada kanak-kanak boleh membawa maut

Namun, pasti tidak ramai ibu bapa sedar bahawa batuk dan selsema yang dianggap normal itu mungkin membawa petanda kepada penyakit lain seperti pneumokokal invasif (IPD) dan otitis media akut (AOM) atau jangkitan telinga yang kini dianggarkan membunuh satu juta kanak-kanak bawah usia lima tahun di seluruh dunia setiap tahun.

Penyakit ini berpunca daripada sejenis kuman bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan pada tekak dan telinga hingga mengakibatkan kesan lebih serius seperti jangkitan paru-paru serta radang otak.


Kuman streptococcal pneumoniae atau pneumokokus dikenal pasti sebagai penyebab utama. Ia terdapat dalam lapisan hidung serta tekak orang yang sihat (pembawa kuman) melalui batuk dan orang yang berada di persekitaran secara langsung.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail, menggesa ibu bapa memberi perhatian khusus dalam hal ini, sama seperti memberikan suntikan imunisasi lain kepada anak-anak mereka.

"Ibu bapa di Malaysia masih belum sedar kesan pneumokokal ini yang sebenarnya boleh mengakibatkan masalah hilang pendengaran, tidak mampu belajar, pertuturan terganggu, kecacatan otak malah boleh membawa maut," katanya.

Zulkifli menambah, pneumokokal sukar dikesan jika dilihat pada luarannya kerana simptom yang dialami kanak-kanak terbabit hampir sama seperti kanak-kanak yang mengalami batuk dan selsema biasa.

"Masalah utama ialah kesukaran mengesannya. Dalam satu kes, seorang kanak-kanak mengalami batuk dan selesema teruk hingga keluar lelehan cecair dari telinga lalu diberikan ubat merawat pengeluaran cecair apabila dirujuk ke hospital.

"Selepas diperiksa secara menyeluruh, didapati kanak-kanak itu dijangkiti pneumokokal. Itu pun selepas ubat yang diberikan sebelum itu tidak mampu merawatnya, malah menyulitkan proses kenal pasti jangkitan," ujarnya.

Justeru, suntikan vaksin Synflorix yang diperkenalkan oleh GlaxoSmithKline, baru-baru ini, adalah salah satu cara paling efektif untuk mencegahnya.

Zulkifli menyifatkan pengambilan vaksin baru berkenaan amat penting bagi melindungi bayi dan kanak-kanak yang berisiko tinggi antaranya ketika berada di pusat asuhan, tadika dan taman permainan.

Mengulas lanjut mengenai Synflorix, Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata ia vaksin generasi baru yang dicipta selepas kewujudan vaksin 7-valen yang digunakan ketika ini.

"Synflorix adalah vaksin berkonjugat protein D influenza hemofilus tidak berjenis dan polisakarida pneumokokal 10-valen, memberi perlindungan daripada AOM pneumokokal yang berpotensi mencegah lebih banyak kes IPD berbanding vaksin 7-valen.

"Ia menawarkan perlindungan daripada tiga jenis pneumokokal tambahan iaitu jenis 1, 5 dan 7F yang sangat invasif dan penggunaannya diiktiraf badan kesihatan global," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antaranya, memberi prakelayakan kepada Synflorix untuk digunakan di seluruh dunia. Prakelayakan ini adalah yang pertama diberikan untuk vaksin menentang penyakit pneumokokal.

Pra kelayakan WHO juga membolehkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membeli vaksin bagi pihak negara membangun dan langkah itu berupaya mempercepatkan capaian pesakit kepada Synflorix.

Tambah Musa, suntikan vaksin ini mula dipasarkan di klinik dan hospital swasta pada harga berpatutan antara RM190 ke RM200 untuk satu dos.

Maksimum pengambilannya ialah tiga dos atau bergantung kepada umur dan keperluan kanak-kanak itu.

utama